Monday, August 18, 2008

Kisah Katak dan Ular

Aku tidak bersalah tapi telah dipersalahkan
kerana kebetulan memang aku tak melakukan
kesalahan, ujar katak sedih. Itu ini itu ini disabitkan
atas kesalahan yang tak pernah dilakukan.
Kehidupan lurus ini bisa dipesongkan dari landasan
kerana aku haiwan kerdil yang tak punya apa-apa.
Dengan lidah kuasa sang ular sengaja menegakkan
benang keliru yang direka-rekakan. Ah duduk salah
melompat salah ~ terhukum bagai pesalah.
Kerabatku teruja dilanda kemelut musibah yang sukar
dan aneh di penjara nasib ~ kiri kanan dibenahi virus
bisa keliru yang sengaja disuntik untuk buktikan
kehebatan lidah dan taring durjana.
Sukar meluruskan kekusutan yang disegajakan
kebisuan bagaikan satu dosa lalu dipersenda, tatkala
nyaring memanggil hujan, kami dituduh pula derhaka
kononnya segaja musnahbelah kolam muafakat.
Dan kami tak diizinkan membela diri ~ hukuman telah
disabitkan lalu terhukum di rahang bisanya
‘kau memang makanan kegemaran istimewa !’ ujar
ular penuh nafsu …

ONN ABDULLAH
Ipoh, 2007.
Dewan Sastera,

Mac, 2008.

No comments: