Sunday, November 23, 2008

Tusukan Sebelas

Segalanya terjadi amat drastik tanpa silu dan jelik mereka melontarkan jarum menusuk pedih hati kita tersoyat ( perit) bagaikan kilat menyambar layar iman, kita terkedu menyembunyikan deraian pilu wajah sebu dalam tarikan nafas kasmaran. Begitu ia hadir dengan wajah sombong dan rakus memijak-mijak maruah kita ~ merentap putus benang jihad jadi layu bagaikan telah reput ini~ masihkah kita berselindung di sebalik lalang ketakutan dan rela biarkan saja daun khilaf dan bunga alpa itu jadi sendaan. Masihkah kita mampu melihat dengan senyum. Mereka (para durja) begitu tegar dan enggan menanggalkan baju kesombongan. Betapa benang-benang keikhlasan diri jadi kusut masai sukar terlerai hingga memerangkap lidah bicara kita jadi lesu ~ wajah kita terus kalut serta murung melakar peta kemanusiaan. Mari kita patahkan jarum laknat itu dengan keyakinan makrifat

ONN ABDULLAH,
Ipoh, 2008

Si Abid (ii)

Di keheningan malam
dia terjebak kedaifan
dalam rintihan cinta
runtunan jiwa hamba

Di lembah fajar
bersentuhan sujud
di bibir cair zikir dan doa
mengharap ketenangan jiwa
syahdu dalam dambaan kasih

Subuhnya jadi basah
basah dalam cinta-Nya
pasrah rindu munajat
persisiran hakikat!

ONN ABDULLAH,
Berita Minggu.
11.2.2007.

Si Abid ( i)

Dalam kegelapan
dia terjebak rindu

Dalam kegelapan
titis-titis airmata kesedaran
menjelma jadi mutiara

Dalam kegelapan
segalanya telah diraba yakin
berbekal kekuatan
matabatin
pengisian makna
iktikad kental dan jitu
dia merangkak pasrah
lalu sujud di kaki-Nya

ONN ABDULLAH,

Berita Minggu.
3 Disember, 2006

Thursday, November 20, 2008

Epilog Sepi Dari Sebuah Elegi Yang Belum Selesai

1. Si Fakir

Dia melontarkan kesakitan
lalu mengalirkan pedih
di sungai nasib
adakah tangan yang simpati
membalut dan mengubat tenat
luka hatinya?

Betapa sakitnya terasa pedih
bagai disembelih
kerana bukan ubat
membalut luka
tapi racun membunuh jiwa!

2. Si Bakhil

Dia menzakatkan riba
di kancah kesenangan
untuk pamer kemulian diri
dari riak takbur
yang tersembunyi

Dalam hilai ketawa
dia mengira untung laba
pada harta yang kian banyak
dari sedekah yang sedikit!

3. Si Buta

Dia hadiahkan tongkat hikmat
untuk memimpin setia
perjalanan si pincang
yang kehilangan daya

Tanpa diduga
si pincang mengilai ketawa
kerana langkah si buta
semakin laju
sedang dirinya
kian tersepit!

4 Si Jahil

Dia memohon doa
agar si buta
mendapat rahmat
dan kembali melihat
dunia pancawarna

Tiba-tiba terdengar pula
si buta berdoa agar
si jahil menjadi celik!

5. Si Pincang

Dia menghulurkan
semangkuk nasib
untuk minuman pengemis lara
agar dapat menghilangkan
sedikit dahaga
kegelisahan batinnya

Seteguk demi seteguk
lalu meresap di tali makna
akhirnya mereka berpelukan
melangkah beriringan

Di lobi sebuah hotel
mereka pun bicara
soal status!

6. Si Fasik

Dalam ceria indahnya wajah
cermin hayat ceracak duri gundah
isteri cantik lazat menawan
tapi makan di luar hidangan

Tiap waktu dia ada di masjid
dari poket baju tercicir 4 digit
rajin sedekah dan amal jariah
juga melabur di Genting mewah

Dia terus meniti hidup
tapi hatinya telah mati!

7. Si Zalim

Dijunjungnya bumi
dipijaknya langit
dipakainya songkok pada kaki
pada kepala dipakainya kasut

Dia pun langkah kiri
dengan azam takbur
tiba-tiba tersungkur
dalam lubang riak
yang digalinya sendiri!

ONN ABDULLAH,
Utusan Zaman,1998.

Wednesday, November 19, 2008

Virus

Merusuh dalam diri sepantas racun yang bisa menggigit urat-urat cinta laman jiwa jadi kalut dan nanar melakar debu muslihat dalam sepi dalam senyap menyusup menyelinap merentap akar sopan memulas tali kasih tersadai memori akal tergeletak impian di arus kemanusiaan, dan seluruh perjalanan jadi amat kritikal jari halusnya menusuk kejam langsung tak mengenal rimbun mekar amal dan maaruf santun dari kepasrahan sebuah kehidupan virus kilatnya menjejak lapangan maut meski tak sedia membunuh di hujung kesedaran penuh kenikmatan ini kita muhasabah diri sebelum jauh terperangkap oleh virus nafsu serakah yang tak berwajah!

ONN ABDULLAH,
Ipoh.

Perisai


Dapat ditangkisnya panah
gelodak kalut nafsu
tamak serta hasad dengki
yang wujud di relunghati
sesekali berlegar amarah
merobek baju jiwa
setipis kulit bawang
ini perisai yang tenang
menangkis serangan

Wajah indah
ikhlas di sisi malu dan sabar
adalah sebahagian sifat
tanpa sekelumit rasa cinta
kelemahan mukmin
jiwa tenat dan parah
demikian takdir
ada perisai keimanan
dalam diri
melindungi jiwa abadi!

ONN ABDULLAH,
Utusan Melayu (M).
September,2004