1. Si Fakir
Dia melontarkan kesakitan
lalu mengalirkan pedih
di sungai nasib
adakah tangan yang simpati
membalut dan mengubat tenat
luka hatinya?
Betapa sakitnya terasa pedih
bagai disembelih
kerana bukan ubat
membalut luka
tapi racun membunuh jiwa!
2. Si Bakhil
Dia menzakatkan riba
di kancah kesenangan
untuk pamer kemulian diri
dari riak takbur
yang tersembunyi
Dalam hilai ketawa
dia mengira untung laba
pada harta yang kian banyak
dari sedekah yang sedikit!
3. Si Buta
Dia hadiahkan tongkat hikmat
untuk memimpin setia
perjalanan si pincang
yang kehilangan daya
Tanpa diduga
si pincang mengilai ketawa
kerana langkah si buta
semakin laju
sedang dirinya
kian tersepit!
4 Si Jahil
Dia memohon doa
agar si buta
mendapat rahmat
dan kembali melihat
dunia pancawarna
Tiba-tiba terdengar pula
si buta berdoa agar
si jahil menjadi celik!
5. Si Pincang
Dia menghulurkan
semangkuk nasib
untuk minuman pengemis lara
agar dapat menghilangkan
sedikit dahaga
kegelisahan batinnya
Seteguk demi seteguk
lalu meresap di tali makna
akhirnya mereka berpelukan
melangkah beriringan
Di lobi sebuah hotel
mereka pun bicara
soal status!
6. Si Fasik
Dalam ceria indahnya wajah
cermin hayat ceracak duri gundah
isteri cantik lazat menawan
tapi makan di luar hidangan
Tiap waktu dia ada di masjid
dari poket baju tercicir 4 digit
rajin sedekah dan amal jariah
juga melabur di Genting mewah
Dia terus meniti hidup
tapi hatinya telah mati!
7. Si Zalim
Dijunjungnya bumi
dipijaknya langit
dipakainya songkok pada kaki
pada kepala dipakainya kasut
Dia pun langkah kiri
dengan azam takbur
tiba-tiba tersungkur
dalam lubang riak
yang digalinya sendiri!
ONN ABDULLAH,
Utusan Zaman,1998.
Thursday, November 20, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment