Monday, August 18, 2008

Ceritera Si Luncai

Ia menjelma suatu ketika tak terduga
dengan latar dan suasana berbeza
di desa terpencil ini teruji maknusiawi
antara kesombongan dan keangkuhan
mata terbayang segenggam azam
tusuk muslihat tak terbaca akal yang sihat
gerak nafsu terpegun asyik meniti hasrat
kemaruk debaran pesona gadis mata galak
teman si Luncai yang bijak

Lembut lidah menarik murni hajatnya
asal niat di sanubari ikhlas dan suci
permata rindu boleh jadi mutiara cinta
wang di labu boleh jadi berganda
janji muluk bersatu dalam sumpah mesra

Luka sejarah mengalir parah jadi barah
tak dapat dibedung dendam membusung
lalu riuh melatah hiba tenggelam punca:
‘ Sungguh celaka, jangan biarkan!
jangan biarkan! kita cari si Luncai puaka!’
yang telah ghaib bersama limpahan permata
juga Puteri Ayu milik peribadinya

Di suatu tempat dengan latar yang berbeza
si Luncai melancarkan operasi yang sama
dan kemanusiaan hancur lagi di tangan pendusta
keimanan pun berkecai di perut haloba!

Onn Abdullah,
Ipoh.

Kisah Katak dan Ular

Aku tidak bersalah tapi telah dipersalahkan
kerana kebetulan memang aku tak melakukan
kesalahan, ujar katak sedih. Itu ini itu ini disabitkan
atas kesalahan yang tak pernah dilakukan.
Kehidupan lurus ini bisa dipesongkan dari landasan
kerana aku haiwan kerdil yang tak punya apa-apa.
Dengan lidah kuasa sang ular sengaja menegakkan
benang keliru yang direka-rekakan. Ah duduk salah
melompat salah ~ terhukum bagai pesalah.
Kerabatku teruja dilanda kemelut musibah yang sukar
dan aneh di penjara nasib ~ kiri kanan dibenahi virus
bisa keliru yang sengaja disuntik untuk buktikan
kehebatan lidah dan taring durjana.
Sukar meluruskan kekusutan yang disegajakan
kebisuan bagaikan satu dosa lalu dipersenda, tatkala
nyaring memanggil hujan, kami dituduh pula derhaka
kononnya segaja musnahbelah kolam muafakat.
Dan kami tak diizinkan membela diri ~ hukuman telah
disabitkan lalu terhukum di rahang bisanya
‘kau memang makanan kegemaran istimewa !’ ujar
ular penuh nafsu …

ONN ABDULLAH
Ipoh, 2007.
Dewan Sastera,

Mac, 2008.

Pada Hal Kita Sama-sama 2

Pada hal kita sama meniti ranjau desa
setia mencari rezeki halal ~ hasil mahsul
di belukar rimba pengalaman, kita akrab
menuntut ilmu di Madrasah Al-Ehsaniah
mengenal hukum tajuwid hingga khatam
Al-Quran. Pada saat kita diusap gementar
ditauliahkan tali pinggang hitam keramat
dari guru murshid Tok Pendekar yang hebat
~ kita ikat sumpah setia membangun hidup
harmoni kasih sayang.

Petang redup: guruh tidak geruh dan sinar
kilat tidak menyambar tiba-tiba hujan menerpa
menyiram taman kedamaian ~ begitu kau muncul
dengan silat jerkah tanpa hujah munasabah
melontar sembilu nista menghujam dendam amarah

Pada hal kita sama-sama sengsara tersimbah angin
musibah menyesali anjuran nasib dan berkesempatan
jalin tali ukhwah menginsafi diri tapi kenapa kini
kau cuba mengulangi sejarah?


ONN ABDULLAH,
Ipoh.

Pada Hal Kita Sama-sama

Pada hal kita sama-sama berikrar
mendukung murni aspirasi kehidupan
menegak kukuh tiang keadilan
takkan rebah oleh racun hasutan

Pada hal kita sama-sama tegar
suburkan benih azam dengan tekad
isi kesementaraan hidup dengan jiwakasih
ikhlas mengisi citra ilmu dunia & akhirat
di taman nurani muafakat

Entah kenapa tiba-tiba saja
kau putuskan tali persaudaraan
kau labuhkan hijab keliru yang kelam
kau bina tembok curiga yang tak wajar
dan angin kebencian pun menyerbu sinis
mengeruhkan damai persahabatan

Pada hal kita sama-sama mengukir janji
sebelum diri dimamah usia tua
mengerjakan amalan sepenuh jiwa
entah kenapa kau muncul dengan kebengisan
menghunus pedang amarah tajam
lalu mengisytiharkan perang!


ONN ABDULLAH
Ipoh.
9 November, 2007

Thursday, August 7, 2008

konvo UiTM









Tusukan Debar

Telah tergenggam hasrat murni
dalam gementar ngalir tusukan debar
pada jabat tangan dingin
menjalar dari uratsaraf menerjah ke uluhati
tusukan itu terus melengkar ke ruangfikir
pada ijabkabul pertama. nafas seakan terhenti,
dari goncangan erat itu tergetar hingga lidah terkunci
kelu tak terucap hanya dada sebak dalam gemuruh
darah memuncak menyusur di mata cinta dan
lafaz keramat itu terlerai jua pada sekian kalinya:
~ aku terima nikahnya seorang Dewi, dengan
belanja mas kahwin sebuah keikhlasan dan cinta.
lalu terhapus lahar gementar dari tusukan debar itu
dan pendalaman jiwa kembali ke dasar tenang
mesra terjalin indah diakui anggukan saksi
dan seluruh kerabat kasih bahagia merestui

Kini bermula sebuah jihad bernama amanah
di gerbangkasih terpampang bunga ujian
di kamar kerelaan dan ketulusan
dalam lingkaran seribu warna cinta
namun ada yang lebih dahsyat
dari bisik kasih itu pada pada halusnya
sindir wali bersahaja penuh tafsiran:
~ bebaskan anak perempuanku dari api neraka
dan pengantin lelaki tercabar dalam cair lidah
penuh ikhlas sopan merungkai benang persoaalan :
~ sudahku sediakan sebuah kitab suci: Al-Quran!
kepuasan di wajah tanda yakin penuh barkah
dan tanggungjawab terpindah sudah!

ONN ABDULLAH,
Antologi Istana Kasih,
2005

konvo IKM